Friday, October 28, 2011

Karnival Cakna Rakyat Kembali Lagi!!

Dalam keriuhan pihak media arus perdana menabur pelbagai tohmahan kepada pihak Pakatan Rakyat, pihak pimpinan PAS Kawasan Parit Buntar terus mengorak langkah mendekati rakyat dengan mengadakan Karnival Cakna Rakyat pada 23 Oktober 2011, bersamaan 25 Zulkaedah 1432H (Ahad) di Perkarangan Masjid Tuan Guru Haji Arshad, Parit Tok Ngah Darat, Jalan Baharu, Parit Buntar. Untuk ke sekian kalinya, Dewan Muslimat PAS Kawasan Parit Buntar tidak melepaskan peluang untuk turut sama menjalin dan merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat melalui beberapa aktiviti yang dirancang khusus untuk carnival tersebut.

Seawal jam 8.30pg, para pengunjung dari kawasan sekitar sudah mula membanjiri tapak program. Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari pimpinan PAS Parit Buntar dan ucapan perasmian oleh ahli Parlimen Parit Buntar, YB Dr Mujahid Yusuf Rawa. Acara kemudian diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada fakir miskin.

Sebaik sahaja upacara perasmian berakhir, muslimat terus sahaja memulakan acara pertandingannya yang pertama iaitu pertandingan gubahan menggunakan kain telekung. Walaupun pada mulanya sambutan kurang menggalakkan, namun atas usaha beberapa orang AJK muslimat mempromosikan pertandingan tersebut, bilangan penyertaan bertambah dengan mendadak sebaik sahaja acara dimulakan.

Sementara para ibu bertungkus-lumus menyiapkan gubahan, para remaja muslimat pula diasah mindanya di dalam pertandingan Kuiz Agama. Pelbagai soalan yang ringkas namun mencabar minda telah disediakan oleh pihak AJK bagi mendekati anak-anak remaja. Seramai 8 orang peserta dari pelbagai peringkat umur telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Jika pada Cakna Rakyat yang lalu DMPK menganjurkan pertandingan memasak kuih tradisional, pada kali ini DMPK tampil pula dengan menganjurkan pertandingan memarut kelapa menggunakan kaedah tradisional. Sambutan yang diterima cukup menggalakkan. Seramai 13 orang peserta telah mengambil bahagian dan peserta dipilih berdasarkan kepada jumlah kelapa parut yang paling banyak.

Selain daripada itu, DMP juga turut menganjurkan pertandingan meneka gula-gula dalam balang, cucuk benang dalam straw dan pukul bulu tangkis. Walaupun pertandingan memukul bulu tangkis diadakan tatkala matahari tegak di atas kepala, namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat 10 orang muslimat yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. Pemenang dipilih berdasarkan jarak pukulan yang paling jauh dan rekod yang dicatatkan pada hari tersebut ialah sejauh 8.6 meter. Hadiah-hadiah misteri untuk pengunjung bertuah seperti hadiah pengunjung paling awal mendaftar, bayi paling comel, pengunjung paling muda dan beberapa hadiah misteri yang lain turut disediakan oleh DMPK sebagai menghargai jasa para pengunjung yang hadir memberi sokongan kepada program tersebut.

Aktiviti yang berjalan selama separuh hari sahaja itu sememangnya padat dengan acara-acara yang menarik. Sukaneka seperti gusti lengan, sepak raga, bowling buah kelapa, belon kasih sayang, dan banyak lagi turut diadakan pada hari berkenaan. 50 cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah yang menarik juga turut diadakan khusus untuk para pengunjung. Golongan kanak-kanak juga tidak dilupakan. Pertandingan mewarna pelbagai peringkat untuk kanak-kanak bermula seawal jam 9.00pagi, diikuti dengan acara sukaneka yang amat menarik. Anak-anak ini tidak pulang dengan tangan kosong kerana di akhir program mereka dihadiahi dengan cenderahati oleh pihak pengajur.

Selain dari acara sukaneka, pemeriksaan kesihatan oleh doktor-doktor PAPISMA, semakan dan daftar pemilih turut diadakan pada hari berkenaan. Sambutan yang diberikan oleh penduduk setempat amat menggalakkan. Cuaca yang terik pada hari kejadian tidak menghalang para pengunjung untuk terus memberi komitmen dan terus bersama-sama sehingga ke akhir program. Acara berakhir kira-kira pada jam 1245 tengahari dengan upacara penyampaian hadiah untuk semua acara yang dipertandingkan. Upacara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Dr Mujahid Yusuf Rawa dan beberapa orang pimpinan PAS Parit Buntar.

Align CenterSebahagian daripada peserta memarut kelapa secara tradisional.


Peserta acara gubahan bertungkus-lumus menyiapkan gubahan. Para pengadil juga bekerja keras untuk memilih peserta dengan gubahan yang terbaik.


Sebahagian dari hasil gubahan yang dihasilkan oleh peserta


Pemegang rekod pukulan bulu tangkis paling jauh untuk Cakna Rakyat kali ini. Merah membara!!


Salah seorang pemenang Kuiz Agama.


Orang-orang kuat Cakna Rakyat Parit Tok Ngah Darat, yang juga pemenang acara memarut kelapa.