Friday, October 28, 2011

Karnival Cakna Rakyat Kembali Lagi!!

Dalam keriuhan pihak media arus perdana menabur pelbagai tohmahan kepada pihak Pakatan Rakyat, pihak pimpinan PAS Kawasan Parit Buntar terus mengorak langkah mendekati rakyat dengan mengadakan Karnival Cakna Rakyat pada 23 Oktober 2011, bersamaan 25 Zulkaedah 1432H (Ahad) di Perkarangan Masjid Tuan Guru Haji Arshad, Parit Tok Ngah Darat, Jalan Baharu, Parit Buntar. Untuk ke sekian kalinya, Dewan Muslimat PAS Kawasan Parit Buntar tidak melepaskan peluang untuk turut sama menjalin dan merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat melalui beberapa aktiviti yang dirancang khusus untuk carnival tersebut.

Seawal jam 8.30pg, para pengunjung dari kawasan sekitar sudah mula membanjiri tapak program. Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari pimpinan PAS Parit Buntar dan ucapan perasmian oleh ahli Parlimen Parit Buntar, YB Dr Mujahid Yusuf Rawa. Acara kemudian diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada fakir miskin.

Sebaik sahaja upacara perasmian berakhir, muslimat terus sahaja memulakan acara pertandingannya yang pertama iaitu pertandingan gubahan menggunakan kain telekung. Walaupun pada mulanya sambutan kurang menggalakkan, namun atas usaha beberapa orang AJK muslimat mempromosikan pertandingan tersebut, bilangan penyertaan bertambah dengan mendadak sebaik sahaja acara dimulakan.

Sementara para ibu bertungkus-lumus menyiapkan gubahan, para remaja muslimat pula diasah mindanya di dalam pertandingan Kuiz Agama. Pelbagai soalan yang ringkas namun mencabar minda telah disediakan oleh pihak AJK bagi mendekati anak-anak remaja. Seramai 8 orang peserta dari pelbagai peringkat umur telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Jika pada Cakna Rakyat yang lalu DMPK menganjurkan pertandingan memasak kuih tradisional, pada kali ini DMPK tampil pula dengan menganjurkan pertandingan memarut kelapa menggunakan kaedah tradisional. Sambutan yang diterima cukup menggalakkan. Seramai 13 orang peserta telah mengambil bahagian dan peserta dipilih berdasarkan kepada jumlah kelapa parut yang paling banyak.

Selain daripada itu, DMP juga turut menganjurkan pertandingan meneka gula-gula dalam balang, cucuk benang dalam straw dan pukul bulu tangkis. Walaupun pertandingan memukul bulu tangkis diadakan tatkala matahari tegak di atas kepala, namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat 10 orang muslimat yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. Pemenang dipilih berdasarkan jarak pukulan yang paling jauh dan rekod yang dicatatkan pada hari tersebut ialah sejauh 8.6 meter. Hadiah-hadiah misteri untuk pengunjung bertuah seperti hadiah pengunjung paling awal mendaftar, bayi paling comel, pengunjung paling muda dan beberapa hadiah misteri yang lain turut disediakan oleh DMPK sebagai menghargai jasa para pengunjung yang hadir memberi sokongan kepada program tersebut.

Aktiviti yang berjalan selama separuh hari sahaja itu sememangnya padat dengan acara-acara yang menarik. Sukaneka seperti gusti lengan, sepak raga, bowling buah kelapa, belon kasih sayang, dan banyak lagi turut diadakan pada hari berkenaan. 50 cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah yang menarik juga turut diadakan khusus untuk para pengunjung. Golongan kanak-kanak juga tidak dilupakan. Pertandingan mewarna pelbagai peringkat untuk kanak-kanak bermula seawal jam 9.00pagi, diikuti dengan acara sukaneka yang amat menarik. Anak-anak ini tidak pulang dengan tangan kosong kerana di akhir program mereka dihadiahi dengan cenderahati oleh pihak pengajur.

Selain dari acara sukaneka, pemeriksaan kesihatan oleh doktor-doktor PAPISMA, semakan dan daftar pemilih turut diadakan pada hari berkenaan. Sambutan yang diberikan oleh penduduk setempat amat menggalakkan. Cuaca yang terik pada hari kejadian tidak menghalang para pengunjung untuk terus memberi komitmen dan terus bersama-sama sehingga ke akhir program. Acara berakhir kira-kira pada jam 1245 tengahari dengan upacara penyampaian hadiah untuk semua acara yang dipertandingkan. Upacara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Dr Mujahid Yusuf Rawa dan beberapa orang pimpinan PAS Parit Buntar.

Align CenterSebahagian daripada peserta memarut kelapa secara tradisional.


Peserta acara gubahan bertungkus-lumus menyiapkan gubahan. Para pengadil juga bekerja keras untuk memilih peserta dengan gubahan yang terbaik.


Sebahagian dari hasil gubahan yang dihasilkan oleh peserta


Pemegang rekod pukulan bulu tangkis paling jauh untuk Cakna Rakyat kali ini. Merah membara!!


Salah seorang pemenang Kuiz Agama.


Orang-orang kuat Cakna Rakyat Parit Tok Ngah Darat, yang juga pemenang acara memarut kelapa.

Thursday, October 20, 2011

SAMBUTAN 60 TAHUN PAS PERINGKAT PERAK 29 DAN 30 OKTOBER 2011


IPOH, 17 Oktober: PAS Perak akan mengadakan Sambutan 60 Tahun Peringkat Negeri Perak pada 29 dan 30 Oktober di Masjid Tinggi Bagan Serai Perak.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain berkata, program akan dirasmikan Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Sabu dan Bagan Serai dipilih kerana ia merupakan salah satu tempat yang menjadi titik mula perjuangan PAS suatu ketika dahulu.

“Program akan bermula daripada 29 Oktober lagi dengan karnival jualan amal, pameran sejarah , sukan PASTI dan sukan rakyat, pertandingan pidato, persembahan kesenian rakyat yang akan dihadiri oleh naib presiden PAS Yb Dato Mahfuz Omar serta ceramah pada sebelah malamnya oleh Forum Kemerdekaan yang akan disampaikan oleh Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu , Prof Dr Abdul Aziz Bari , Sdr Baharom Shah (Adik Mat Indera) serta Dr Azhar Bahari sebagai moderator.

“Keesokan harinya iaitu pada 30 Oktober, akan berlangsung Majlis Perasmian Sambutan 60 Tahun PAS dan Konvensyen Negara Berkebajikan Peringkat Negeri Perak oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Haji Mohamad Sabu.

Selain itu tayangan video pengkisahan sejarah PAS serta pembentangan kertas dokumen Negara Berkebajikan oleh Yb Salahuddin Ayub juga turut diadakan.

Pada sebelah petangnya akan diadakan, Wacana Kemerdekaan yang membariskan,Tuan Haji Subki Abd Latif ( Kolumnis Harakah dan Veteran PAS) Sdr Mohd Fadhli Ghani (Pengarah Arkib PAS Pusat ) dan Zainuddin Andika (Aktivis Pejuang Kemerdekaan)

Tambahnya, pada sebelah malam akan ditayangkan pengkisahan sejarah PAS Perak, serta penyampaian anugerah tokoh dan anugerah jasamu dikenang kepada tokoh-tokoh terpilih.

Kemuncaknya ialah Ceramah Perdana 60 Tahun PAS yang akan disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Azizan Abdul Razak.

“Matlamat sambutan yang penting ini ialah bagi mencetuskan semangat bagi menghidupkan gelombang pilihan raya umum (PRU) 13 dengan memobilisasi semua peringkat penggerak dan petugas parti,serta menunjukkan keizzahan PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang terus tegar memacu perjuangan di tanah air ini” katanya.

Justeru Pesuruhjaya PAS Perak turut menyatakan, bagi sebarang pertanyaan untuk penyertaan, perniagaan dan sebagainya boleh menghubungi urusetia di talian :05 2557237 ( PAS Perak ).

Sumber: http://ustazabubakar.wordpress.com