Pelbagai aktiviti menarik dan pertandingan dilaksanakan bermula jam 8.30 pagi lagi. Antaranya sukaneka rakyat, pertandingan mewarna, gubahan telekung sembahyang, masakan berasaskan ubi serta tulisan khat dan khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma.
Bagi slot muslimat ataupun wanita semestinya,acara masakan dan gubahan telekung sembahyang menjadi tarikan. Kedua-dua acara ini mendapat penyertaan yang begitu memuaskan dan menggalakkan di kalangan mereka. Acara gubahan dan lipatan telekung sembahyang mempertaruhkan persaingan yang amat sengit dan tidak kurang hebat juga pertandingan masakan berasaskan ubi yang secara tidak langsung mempamerkan pelbagai bentuk, rupa, rasa dan warna yang mana dapat menonjolkan bakat para peserta dalam mempelbagaikan resepi.
Selain itu, turut diadakan pertandingan mewarna, kapal terbang, tiup belon dan isi air dalam botol untuk kanak-kanak. Golongan dewasa pula disajikan sukaneka berbentuk santai seperti boling kelapa, meraut lidi serta menganyam ketupat di mana aktiviti seperti ini secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan dikalangan peserta serta tetamu yang hadir. Jualan makanan dan gerai pelbagai produk juga turut memeriahkan suasana pada hari ini.
Kira-kira jam 12.30 tengah hari selesai semua acara, para pemenang diumumkan.Majlis perasmian telah dirasmikan oleh Mantan Yang Berhormat Azhar Syarin Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kawasan dan Majlis Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Cik Khairul Azmi Ketua Pemuda Pas Kawasan.
Jam 1.30 petang majlis pun bersurai dengan riak-riak kegembiraan di wajah masing-masing walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
Terima kasih warga penduduk Sungai Baru dan penduduk setempat atas sambutan anda. Jumpa lagi tahun hadapan, Insya-Allah.















