Friday, January 13, 2012

Suami Isteri Bersyukur Aduan diambil Prihatin PAS Kawasan Parit Buntar.

Projek DMPK: Gotong-Royong Baiki Bumbung Rumah


Kuala Kurau, 8 Januari 2012. Hidup sepasang suami isteri yang telah menjangkau usia senja dan tinggal berdua dalam keadaan serba kekurangan di rumah mereka di Kampung Parit Haji Abdul Rahman kini mampu berpuas hati hasil daripada gabungan kerjasama antara Dewan Pemuda PAS, Dewan Muslimat PAS, Nisa’ dan Unit Amal Malaysia Kawasan Parit Buntar telah merealisasikan harapan mereka yang ingin melihat bumbung rumah mereka dibaikpulih kerana kerosakan dan kebocoran yang berlaku sejak beberapa bulan lalu akibat cuaca hujan dan angin kencang.


Encik Ahmed bin Hj Salleh, 70, bersama isterinya puan Normah Ariff, 63, adalah salah sebuah antara beberapa buah keluarga yang diambil prihatin oleh PAS Kawasan Parit Buntar. Hidup mereka kini dalam keadaan serba kekurangan lantaran seramai 4 anak orang perempuan mereka tidak bekerja yakni sebagai suri rumah sahaja di mansa ada diantaranya juga mempunyai masalah kesihatan dan seorang anak lelaki mereka yang bekerja pula hanya mendapat purata pendapatan yang rendah menjadikan punca sukar untuk membantu ibu bapa mereka bagi masalah di atas.


Seramai sembilan petugas Unit Amal Malaysia juga terdiri daripada anggota Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit Buntar sendiri bergotong-royong bermula seawal pagi sehingga tengahari bagi membaikpulih masalah bumbung yang rosak tersebut. Sebahagian anggota tertinggi Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS turut hadir melawat pasangan suami isteri berkenaan dan meninjau program hari ini.

Sebelum ini sejak daripada tahun 2009, pihak keluarga ini pernah meminta bantuan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Kawasan Parit Buntar, namun aduan mereka tidak diluluskan.


Bantuan yang diberikan tidak hanya terhenti di situ. Kini Pihak Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Kawasan berusaha untuk mengajukan masalah kehidupan yang dihadapi oleh pasangan suami isteri ini kepada pihak Baitulmal.





Proses membuka bumbung yang lama

YDP Pas Parit Buntar Tn Hj Harun Hashim yang prihatin

Pakcik Ahmed


Unit Amal yang membantu mempermudahkan urusan tukang kayu

Gembira dapat berbakti

Alhamdulillah siap pun

Barisan unit Amal & Dewan Pemuda yang turun padang bersama

Doa daripada Dewan Muslimat Kawasan Parit Buntar semoga pakcik Ahmed & makcik Normah bahagia.... dunia akhirat.





Friday, October 28, 2011

Karnival Cakna Rakyat Kembali Lagi!!

Dalam keriuhan pihak media arus perdana menabur pelbagai tohmahan kepada pihak Pakatan Rakyat, pihak pimpinan PAS Kawasan Parit Buntar terus mengorak langkah mendekati rakyat dengan mengadakan Karnival Cakna Rakyat pada 23 Oktober 2011, bersamaan 25 Zulkaedah 1432H (Ahad) di Perkarangan Masjid Tuan Guru Haji Arshad, Parit Tok Ngah Darat, Jalan Baharu, Parit Buntar. Untuk ke sekian kalinya, Dewan Muslimat PAS Kawasan Parit Buntar tidak melepaskan peluang untuk turut sama menjalin dan merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat melalui beberapa aktiviti yang dirancang khusus untuk carnival tersebut.

Seawal jam 8.30pg, para pengunjung dari kawasan sekitar sudah mula membanjiri tapak program. Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari pimpinan PAS Parit Buntar dan ucapan perasmian oleh ahli Parlimen Parit Buntar, YB Dr Mujahid Yusuf Rawa. Acara kemudian diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada fakir miskin.

Sebaik sahaja upacara perasmian berakhir, muslimat terus sahaja memulakan acara pertandingannya yang pertama iaitu pertandingan gubahan menggunakan kain telekung. Walaupun pada mulanya sambutan kurang menggalakkan, namun atas usaha beberapa orang AJK muslimat mempromosikan pertandingan tersebut, bilangan penyertaan bertambah dengan mendadak sebaik sahaja acara dimulakan.

Sementara para ibu bertungkus-lumus menyiapkan gubahan, para remaja muslimat pula diasah mindanya di dalam pertandingan Kuiz Agama. Pelbagai soalan yang ringkas namun mencabar minda telah disediakan oleh pihak AJK bagi mendekati anak-anak remaja. Seramai 8 orang peserta dari pelbagai peringkat umur telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Jika pada Cakna Rakyat yang lalu DMPK menganjurkan pertandingan memasak kuih tradisional, pada kali ini DMPK tampil pula dengan menganjurkan pertandingan memarut kelapa menggunakan kaedah tradisional. Sambutan yang diterima cukup menggalakkan. Seramai 13 orang peserta telah mengambil bahagian dan peserta dipilih berdasarkan kepada jumlah kelapa parut yang paling banyak.

Selain daripada itu, DMP juga turut menganjurkan pertandingan meneka gula-gula dalam balang, cucuk benang dalam straw dan pukul bulu tangkis. Walaupun pertandingan memukul bulu tangkis diadakan tatkala matahari tegak di atas kepala, namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat 10 orang muslimat yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. Pemenang dipilih berdasarkan jarak pukulan yang paling jauh dan rekod yang dicatatkan pada hari tersebut ialah sejauh 8.6 meter. Hadiah-hadiah misteri untuk pengunjung bertuah seperti hadiah pengunjung paling awal mendaftar, bayi paling comel, pengunjung paling muda dan beberapa hadiah misteri yang lain turut disediakan oleh DMPK sebagai menghargai jasa para pengunjung yang hadir memberi sokongan kepada program tersebut.

Aktiviti yang berjalan selama separuh hari sahaja itu sememangnya padat dengan acara-acara yang menarik. Sukaneka seperti gusti lengan, sepak raga, bowling buah kelapa, belon kasih sayang, dan banyak lagi turut diadakan pada hari berkenaan. 50 cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah yang menarik juga turut diadakan khusus untuk para pengunjung. Golongan kanak-kanak juga tidak dilupakan. Pertandingan mewarna pelbagai peringkat untuk kanak-kanak bermula seawal jam 9.00pagi, diikuti dengan acara sukaneka yang amat menarik. Anak-anak ini tidak pulang dengan tangan kosong kerana di akhir program mereka dihadiahi dengan cenderahati oleh pihak pengajur.

Selain dari acara sukaneka, pemeriksaan kesihatan oleh doktor-doktor PAPISMA, semakan dan daftar pemilih turut diadakan pada hari berkenaan. Sambutan yang diberikan oleh penduduk setempat amat menggalakkan. Cuaca yang terik pada hari kejadian tidak menghalang para pengunjung untuk terus memberi komitmen dan terus bersama-sama sehingga ke akhir program. Acara berakhir kira-kira pada jam 1245 tengahari dengan upacara penyampaian hadiah untuk semua acara yang dipertandingkan. Upacara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Dr Mujahid Yusuf Rawa dan beberapa orang pimpinan PAS Parit Buntar.

Align CenterSebahagian daripada peserta memarut kelapa secara tradisional.


Peserta acara gubahan bertungkus-lumus menyiapkan gubahan. Para pengadil juga bekerja keras untuk memilih peserta dengan gubahan yang terbaik.


Sebahagian dari hasil gubahan yang dihasilkan oleh peserta


Pemegang rekod pukulan bulu tangkis paling jauh untuk Cakna Rakyat kali ini. Merah membara!!


Salah seorang pemenang Kuiz Agama.


Orang-orang kuat Cakna Rakyat Parit Tok Ngah Darat, yang juga pemenang acara memarut kelapa.

Thursday, October 20, 2011

SAMBUTAN 60 TAHUN PAS PERINGKAT PERAK 29 DAN 30 OKTOBER 2011


IPOH, 17 Oktober: PAS Perak akan mengadakan Sambutan 60 Tahun Peringkat Negeri Perak pada 29 dan 30 Oktober di Masjid Tinggi Bagan Serai Perak.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain berkata, program akan dirasmikan Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Sabu dan Bagan Serai dipilih kerana ia merupakan salah satu tempat yang menjadi titik mula perjuangan PAS suatu ketika dahulu.

“Program akan bermula daripada 29 Oktober lagi dengan karnival jualan amal, pameran sejarah , sukan PASTI dan sukan rakyat, pertandingan pidato, persembahan kesenian rakyat yang akan dihadiri oleh naib presiden PAS Yb Dato Mahfuz Omar serta ceramah pada sebelah malamnya oleh Forum Kemerdekaan yang akan disampaikan oleh Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu , Prof Dr Abdul Aziz Bari , Sdr Baharom Shah (Adik Mat Indera) serta Dr Azhar Bahari sebagai moderator.

“Keesokan harinya iaitu pada 30 Oktober, akan berlangsung Majlis Perasmian Sambutan 60 Tahun PAS dan Konvensyen Negara Berkebajikan Peringkat Negeri Perak oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Haji Mohamad Sabu.

Selain itu tayangan video pengkisahan sejarah PAS serta pembentangan kertas dokumen Negara Berkebajikan oleh Yb Salahuddin Ayub juga turut diadakan.

Pada sebelah petangnya akan diadakan, Wacana Kemerdekaan yang membariskan,Tuan Haji Subki Abd Latif ( Kolumnis Harakah dan Veteran PAS) Sdr Mohd Fadhli Ghani (Pengarah Arkib PAS Pusat ) dan Zainuddin Andika (Aktivis Pejuang Kemerdekaan)

Tambahnya, pada sebelah malam akan ditayangkan pengkisahan sejarah PAS Perak, serta penyampaian anugerah tokoh dan anugerah jasamu dikenang kepada tokoh-tokoh terpilih.

Kemuncaknya ialah Ceramah Perdana 60 Tahun PAS yang akan disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Azizan Abdul Razak.

“Matlamat sambutan yang penting ini ialah bagi mencetuskan semangat bagi menghidupkan gelombang pilihan raya umum (PRU) 13 dengan memobilisasi semua peringkat penggerak dan petugas parti,serta menunjukkan keizzahan PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang terus tegar memacu perjuangan di tanah air ini” katanya.

Justeru Pesuruhjaya PAS Perak turut menyatakan, bagi sebarang pertanyaan untuk penyertaan, perniagaan dan sebagainya boleh menghubungi urusetia di talian :05 2557237 ( PAS Perak ).

Sumber: http://ustazabubakar.wordpress.com

Monday, August 1, 2011

Ihya Ramadhan : Peranan Muslimat Antara Ramadhan & Syawal

30 Julai 2011 (Sabtu) bersamaan 29 Syaaban 1432H Dewan Muslimat Kawasan Parit Buntar telah menganjurkan pr0gram Ihya Ramadhan sempena menyambut kedatangan Ramadhan yang sangat mulia. Ceramah disampaikan oleh Ustazah Azimah dari DMPK Nibong Tebal.

Majlis bermula kira-kira jam 8.30 pagi dengan dendangan ayat suci Al-Quran oleh adik Nur Athirah Azhar Hadi, surah Al-Baqarah ayat 183-192. Usai bacaan Al-Quran, program diteruskan dengan ceramah membincangkan tentang peranan muslimat di antara Ramadhan dan Syawal. Bertepatan dengan peranan muslimat sebagai sayap kiri perjuangan, muslimat juga turut berperanan dalam masyarakat dan harus ke hadapan dalam agenda dakwah dan tarbiyyah umat. Pelbagai tips dan adab dikongsikan bersama kepada para muslimat yang hadir dalam mengaplikasikan tuntutan dalam bulan barkah ini agar tidak lari dari konsep ubudiyah yang disyariatkan dalam Islam.


Alhamdulillah majlis berakhir kira-kira jam 12 tengah hari dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah,disempurnakan oleh Ketua DMPK Parit Buntar, Rahimah Osman. Para tetamu jua turut diberi sedikit saguhati berupa sekotak buah kurma dan bahan bacaan pengisi jiwa.

InsyaAllah, DMP kawasan juga telah menyusun pelbagai aktiviti buat masyarakat Parit Buntar dalam mengimarahkan lagi kedatangan Ramadhan yang sangat dinanti ini. Akhir kalam, barisan pimpinan DMPK Parit Buntar mengucapkan Salam Ramadhan Kareem buat semua muslimin muslimat . Bersamalah kita mengejar sebanyak mungkin pahala dalam bulan ini kerana kita tidak pasti adakah akan ada Ramadhan lagi buat kita selepas ini. Allahumma Ballighna Ramadhan..amin ya Allah.

p/s: Sumbangan Infaq Ramadhan 1432H, Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar.
Bagi yang ingin menyumbang boleh menyumbang ke akaun Bank Islam 080-220-100-50832
dan boleh hubungi YB Mujahiid Rawa atau Encik Bob Hairul Nizam (setiausaha: 013-5813634).
Jazakumullahu khairan khatira

Saturday, May 7, 2011

Cakna Rakyat Pt Hj Wahab

23 April 2011 (Ahad) bersamaan 20 Jamadilawal 1432H tibalah giliran cawangan Pt Hj Wahab pula menerima kunjungan pemimpin bersama rakyat yang dianjurkan oleh PAS Kawasan Parit Buntar di bawah kelolaan Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Parit Buntar.

Majlis pada hari itu bermula kira-kira jam 8 pagi untuk acara perasmian. Sekitar jam 9 pagi kaunter pendaftaran mula diserbu oleh para peserta dari kawasan-kawasan berhampiran. Seperti biasa acara permainan dibahagikan mengikut kategori muslimin, muslimat dan kanak-kanak.

Menyoroti acara untuk muslimat pada kali ini agak berbeza daripada aktiviti-aktiviti cakna rakyat di cawangan-cawangan lain. Ini menunjukkkan PAS sentiasa memperbaharui idea-idea baru untuk menarik para pengunjung berkunjung ke program sperti ini. Antaranya adalah acara cucuk benang dalam jarum, cucuk benang dalam straw, serta permainan uji minda. Acara diteruskan dengan pertandingan memasak Wadai Kalakatar yang mendapat 10 penyertaan di kalangan muslimat. Makanan ini merupakan makanan tradisional orang banjar yang juga menjadi makanan yang digemari masyarakat di sini. Pertandingan gubahan dari kain batik juga tidak kurang hebatnya. Semua peserta menunjukkan bakat serta kekreatifan masing-masing dalam menghasilkan gubahan yang terbaik.

Sekitar jam 11 pagi acara diteruskan dengan permainan teka bilangan gula-gula dan pertandingan boling. Adik-adik dari PASTI dan sekolah rendah juga tidak melepaskan peluang mereka untuk mengambil bahagian dalam acara pertandingan mewarna yang sememangnya disukai para kanak-kanak. Selain itu, khidmat nasihat dan pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh para doktor PAPISMA yang mana ia sangat mendapat perhatian di samping menggalakkan masyarakat kita agar sentiasa mengutamakan kesihatan dalam menjalani kehidupan seharian.

Jam menunjukkan 12 tengah hari. Matahari sudah mula memacak tinggi. Kesemua acara juga sudah disertai. Cuma tinggal acara penyampaian hadiah sahaja lagi. Alhamdulillah program Cakna Rakyat Pt Hj Wahab berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari dengan jayanya. Alhamdulillah wartawan Sinar Harian juga turut hadir membuat liputan. Semoga dengan kejayaan aktiviti pada hari ini dapat mengeratkan lagi ukhwah persaudaraan antara kita serta sebagai platform untuk pemimpin bermesra bersama rakyat. InsyaAllah.

MUSLIMAT~MENYEMARAK KEMENANGAN, MENYATU RAKYAT

“Menjiwai Aqidah Perjuangan”

acara wanita..

cucuk benar dalam straw..unik !

pameran hasil masakan Wadai Kalakatar para peserta..mantop semuanya!
pengadil pun pening nak pilih..

tengok saja pun dah terliur

inilah KALAKATAR...makanan tradisi orang banjaq!

pertandingan gubahan batik...kreatif betul ibu-ibu kita ini ya

pemeriksaan tahap kesihatan

para penduduk tidak melepaskan untuk mendapatkan rawatan PERCUMA

khidmat nasihat juga diberi secara PERCUMA oleh doktor-doktor PAPISMA

haa..ini orang kuat Muslimat dan Kebajikan..runner bagi program-program kebajikan&kemasyarakatan di parlimen Parit Buntar ni.
Cayalah kak jan!! Teruskan perjuanganmu !!!

Monday, March 28, 2011

Mesyuarat Agung Dewan Muslimat Parit Buntar & Saff Kepimpinan 2011/2012

meraikan saff kepimpinan yg baru

Ya Allah hati ini telah berpadu

Doa wehdah

Saturday, March 26, 2011

Kemeriahan Hari Keluarga Dun Kuala Kurau

26 MAC 2011 (Sabtu)- Alhamdulillah lebih kurang jam 1.30 petang tadi berakhir satu lagi program kemasyarakatan anjuran Pas Kawasan Parit Buntar bertujuan mendekati masyarakat dan penduduk setempat iaitu Hari Keluarga Dun Kuala Kurau 2011. Program yang berlangsung di Pusat Ilmu & Kemasyarakatan Sungai Baru Tengah ini dikatakan sangat meriah dengan kehadiran hampir seluruh penduduk tempatan Sungai Baru, Parit Abas, Parit Tok Him serta perkampungan yang berhampiran walaupun dalam keadaan cuaca yang hujan.
Pelbagai aktiviti menarik dan pertandingan dilaksanakan bermula jam 8.30 pagi lagi. Antaranya sukaneka rakyat, pertandingan mewarna, gubahan telekung sembahyang, masakan berasaskan ubi serta tulisan khat dan khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Bagi slot muslimat ataupun wanita semestinya,acara masakan dan gubahan telekung sembahyang menjadi tarikan. Kedua-dua acara ini mendapat penyertaan yang begitu memuaskan dan menggalakkan di kalangan mereka. Acara gubahan dan lipatan telekung sembahyang mempertaruhkan persaingan yang amat sengit dan tidak kurang hebat juga pertandingan masakan berasaskan ubi yang secara tidak langsung mempamerkan pelbagai bentuk, rupa, rasa dan warna yang mana dapat menonjolkan bakat para peserta dalam mempelbagaikan resepi.

Selain itu, turut diadakan pertandingan mewarna, kapal terbang, tiup belon dan isi air dalam botol untuk kanak-kanak. Golongan dewasa pula disajikan sukaneka berbentuk santai seperti boling kelapa, meraut lidi serta menganyam ketupat di mana aktiviti seperti ini secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan dikalangan peserta serta tetamu yang hadir. Jualan makanan dan gerai pelbagai produk juga turut memeriahkan suasana pada hari ini.

Kira-kira jam 12.30 tengah hari selesai semua acara, para pemenang diumumkan.Majlis perasmian telah dirasmikan oleh Mantan Yang Berhormat Azhar Syarin Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kawasan dan Majlis Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Cik Khairul Azmi Ketua Pemuda Pas Kawasan.
Jam 1.30 petang majlis pun bersurai dengan riak-riak kegembiraan di wajah masing-masing walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

Terima kasih warga penduduk Sungai Baru dan penduduk setempat atas sambutan anda. Jumpa lagi tahun hadapan, Insya-Allah.