Friday, June 18, 2010

Ya Rajab...Ahlan Wa Sahlan...


Bulan yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang mencari kebajikan yang banyak. Sesungguhnya Allah menganugerahkan rahmat kepada hamba-hambaNya dalam bulan ini. Barangsiapa memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah memuliakan mereka dengan seribu kemuliaan. Gandingan 3 bulan (Rejab, Sya'aban dan Ramadhan) merupakan satu tempoh yang amat berkat. Setiap satu mempunyai keistimewaan tersendiri.

Kemuliaan Rejab kerana Israk Mikrajnya, Sya'aban dengan malam Nisfu Sya'aban dan Ramadhan dimuliakan dengan Lalilatul Qadr. Di antara rahmat Allah yang terbesar dikurniakan kepada hambaNya ialah dengan melipatgandakan pahala setiap amalan yang dilakukan dalam bulan ini. Di antara amalan pada waktu siang ialah puasa, solat sunat, tasbih, selawat, membaca al-Quran, istighfar, sedekah dan seumpamanya. Manakala waktu malam diisi dengan solat tahajud, solat sunat tasbih, zikir, tasbih, selawat, baca al-Quran dan istighfar. Sepanjang Rejab, Allah melipatgandakan pahala dan keampunan serta mengangkat darjat di dalam syurga.

Selain berpuasa, umat Islam digalakkan beristighfar. Bacalah doa istighfar Rejab yang banyak dinukilkan di dalam kitab-kitab. Allah melimpahkan keampunan dan rahmat yang tidak diberi pada bulan-bulan lain. Amalan sedekah juga dibalas dengan ganjaran yang banyak. Dinukilkan bahawa barangsiapa bersedekah dalam bulan Rejab diberi ganjaran setiap sehelai bulu roma di tubuhnya dengan 1000 kebajikan, diangkat 1000 darjat dan dihapus 1000 kejahatan.

Sungguh banyak sekali keterangan ulama' mengenai ganjaran dan kebesaran Rejab. Yang lebih penting bukan setakat menghuraikan kelebihan, tetapi sejauh mana kita mengamalkan atau mengambil peluang dari tawaran Allah ini. Kalau Kompleks Membeli-belah mengadakan tawaran istimewa atau jualan murah, kita akan keluar berduyun-duyun seolah-olah berpesta untuk mendapatkan barangan yang ditawarkan. Tetapi adakah begitu respon kita apabila Allah membuka tawaran yang Maha Hebat ini. Satu tawaran yang tiada tolok bandingannya. Satu tawaran yang kekal abadi. Satu tawaran yang menjamin kebahagiaan di dua alam - dunia dan akhirat.

Realiti yang kita dapat lihat ialah tawaran Allah kurang mendapat tempat di hati kita. Hanya hati yang disinari dengan iman dapat menghargai tawaran Allah yang abadi ini. Manakala hati yang sudah terpaut dengan kebesaran dunia lebih terpikat dengan tawaran murahan yang bersifat sementara dan tidak kekal.

Di sinilah ujian untuk menilai keimanan kita terhadap perkara ghaib. Ganjaran syurga yang ditawarkan adalah perkara ghaib yang kita tidak nampak. Tetapi penuruan harga baju dari RM 90.00 ke RM 50.00 jelas dilihat. Oleh kerana kita lebih mengutamakan perkara yang nampak daripada yang ghaib, maka kita berusaha untuk memilih tawaran dunia. Tawaran Allah menjadi amat kecil sehingga tidak berdaya untuk kita laksanakan.

Jadilah fadhilat atau kelebihan Rejab yang kita baca atau dengar seolah-olah satu dongengan yang tidak bermakna dan tidak sikit pun memberi kesan di hati. Apabila sikap begini terserap di dalam hati, tidaklah mampu untuk merealisasikan sesuatu tindakan. Bahkan di dalam al-Quran, Allah menempelak golongan ini seolah-olah ada mata tetapi tidak dapat melihat, ada telinga tidak dapat mendengar dan ada otak tetapi tidak dapat memikirkan.

Allah Maha Melihat atas apa yang kita lakukan. Allah Maha Mendengar atas apa yang kita ucapkan. Allah Maha Tahu atas apa yang kita lintaskan di hati. Allah memberi ganjaran atau balasan berdasarkan sejauh mana kita berusaha menghampirkan diri kepada Allah. Jika kita bersungguh-sungguh beramal mencari keredhaan Allah, Allah akan memberi balasan setimpal dengan usaha yang disumbangkan. Sebaliknya jika di dunia kita tidak begitu ambil pusing akan urusan ibadat, maka sudah tentu Allah tidak akan mempedulikan perihal hidup kita di dunia dan akhirat.
Sebagai tanda Allah mengasihi seseorang, diberikan kesusahan atau bala. Bala adalah ujian untuk melihat sejauh mana kesabaran kita. Sekiranya kita bersabar atas segala kesusahan yang ditimpakan ke atas kita, Allah akan meningkatkan darjat kita. Manusia yang lemah imannya terhadap ujian Allah akan mudah menggelabah dan putus asa. Orang beriman sebenar sama sahaja sama ada diberi nikmat atau tidak. Diberi senang dia bersyukur, ditimpakan susah dia bersabar. Ada wang atau tak ada wang sama saja - kerana kesemuanya berpunca dari Allah.

Dalam konteks kelebihan Rejab ini, puasa adalah satu amalan yang benar-benar menguji kesabaran. Orang berpuasa diuji dengan susah, lapar, dahaga dan letih. Ini merupakan satu bala. Kejayaan mengatasi kesusahan ini demi menyahut seruan Allah merupakan satu peluang yang melayakkan kita menerima ganjaran yang disediakan; bak kata orang tua-tua 'bersusah-susah dulu - bersenang-senang kemudian'. Ini bermakna syarat untuk bersenang-senang di akhirat ialah dengan cara kita menempuh pelbagai kesukaran terlebih dahulu. Syurga adalah satu tempat yang amat istimewa di akhirat yang tidak akan dapat dicapai oleh mereka yang lebih mementingkan kesenangan dan hiburan di dunia ini.
Sebagai penutupnya, kita seharusnya memeriksa diri kita terlebih dahulu, sejauh mana kita memberi respons terhadap tawaran ukhrawiah? dan sejauh mana pula kita memberi respons terhadap tawaran keduniaan? Bandingkan kecenderungan atau kemahuan diri kita apabila berhadapan dengan kedua-dua tawaran ini. Yang mana lebih menggiur atau menyelerakan? Dari sini barulah kita tahu pendirian dan sikap kita. Tepuklah dada dan tanyalah iman. Hanya diri sendiri yang mengetahui rahsia peribadi. Bertolak dari sini, barulah kita dapat memperbetulkan halatuju yang perlu diambil untuk keselamatan diri kita di dunia dan akhirat.

Harapan kita biarlah kita untung dan bahagia di dunia dan akhirat. Sama-samalah kita berusaha ke arah memperbaiki hidup sepanjang Rejab ini supaya Allah menambahkan ketakwaan dan kekuatan kita untuk melakukan amal iibadat dalam bulan Sya'aban dan Ramadhan yang bakal menjelang. Semoga kita berpeluang berada dalam bulan yang paling mulia - Ramadhan dan akhirnya semoga kita sentiasa mendapat keredhaan Allah. AMIN!

Saturday, May 22, 2010

PROGRAM MUSLIMAT CAWANGAN BATU LIMA


22 MEI 2010 - Satu program telah diadakan di Pt. Hj Abdul Rahman dengan kerjasama UPU Batu Lima bermula pada jam 8.30pagi hingga 5.00petang. Pada sebelah paginya, muslimat cawangan Batu Lima menyediakan sejenis kuih banjar dikenali sebagai wadai kiping.

Sebelah petang pula diadakan ceramah kelompok yang disampaikan oleh Setiausaha PAS Kawasan.Beliau telah menegasakan kewajipan umat Islam melaksanakan kerja amar maaruf dan nahi mungkar seperti yang dituntut dalam al-Quran surah Ali-Imran ayat 104. Beliau juga menyarankan agar muslimat peka dalam situasi kini tentang peranan zionis yahudi yang menindas dan menzalimi umat Islam.Oleh itu diharapkan muslimat bersama-sama memainkan peranan dalam memboikot barang keluaran Amerika dan sekutunya Israel-Yahudi seperti barangan keluaran Nestle, KFC, Coca-Cola, McDonald, Starbuck dan sebagainya. Akhirnya beliau memberi peringatan keadaan manusia di Padang Mashyar atas perbuatan yang mereka lakukan di atas dunia ini.

Program ini diakhiri dengan bacaan doa selamat dan jamuan wadai kiping.




Tuesday, May 4, 2010

Muslimat Tidak Ketinggalan di Karnival Pakatan Rakyat 2010

2 MEI 2010,Tanjung Piandang - Telah berlangsungnya acara tahunan bagi Parlimen Kawasan Parit Buntar iaitu Karnival Pakatan Rakyat 2010 anjuran barisan Pakatan Rakyat di sini. Pada kali ini, wanita dan para muslimat disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik bagi memeriahkan lagi karnival tahun ini. Slot wanita berlangsung dua hari berturut-turut pada sebelah petang berselang-seli dengan acara pemuda dan kanak-kanak.

Pada hari pertama, slot dimulai dengan demontrasi masakan menggunakan alatan atau produk dari syarikat Amway. Pelbagai menu menarik disediakan dalam waktu yang singkat. Antara menu yang ditunjukkan adalah Nasi Briyani, Ayam Briyani, dan Kari Ayam. Selain itu, mereka turut menunjukkan cara-cara untuk membuat Roti Kaya (bun) dan Pizza Sayur.

Slot diteruskan dengan ceramah tentang kesihatan dan makanan tambahan (supplement) oleh Encik Khairuddin dengan tajuknya, "Peranan Makanan Tambahan untuk Kesihatan". Pelbagai jenissupplementserta khasiatnya diperkenal dan diterangkan kepada para hadirin. Sebahagian besarnya adalah untuk merawat penyakit-penyakit kronik yang kebiasaan dihidapi oleh masyarakat kita seperti gout, kencing manis dan darah tinggi.

Acara diteruskan dengan penyampaian hadiah-hadiah misteri, antaranya"perserta terawal mendaftar", "peserta termuda", peserta paling veteran", "peserta paling ceria" dan "peserta paling comel". Slot pada hari pertama diakhiri dengan jamuan ringan hasil daripada demonstarsi masakan tadi. Kira-kira jam 5.30 petang majlis bersurai bagi memberi laluan untuk persiapan program pada malam tersbut, "Malam Kesenian Rakyat".

Seterusnya, 2 Mei 201o, pada hari kedua berlangsungnya karnival ini, slot wanita diteruskan dengan pertandingan-pertandingan yang sememangnya disukai kaum hawa iaitu pertandingan masakan dan lipatan tuala. Semua peserta yang terlibat mempertaruhkan bakat-bakat dan kemahiran mereka dalam penyediaan "kerabu", iaitu sejenis makanan berkhasiat, awet muda dan juga dikenali sebagai makanan tradisional orang melayu. Para peserta dan penonton yang melihat begitu teruja kerana masing-masing menunjukkan persaingan sengit dan menarik. Pertandingan membuat kerabu diadili oleh Puan Zuraida, selaku isteri YB Dr. Mujahid Yusuf Rawa, ahli parlimen Parit Buntar.

Dalam masa yang sama turut berlangsung acara pertandingan Mewarna khas untuk kaum-kaum ibu, kerana julung kali ianya diadakan, dan pada kali ini muslimat menyediakan peluang ini kerana ada di antara mereka begitu berminat utk menyertainya. Pertandingan ini mendapat sambutan di luar jangkaan termasuk di kalangan remaja wanita juga. Pertandingan lipatan tuala juga tidak kurang hebatnya, semua peserta berusaha memberikan persembahan terbaik bagi memenangi hati juri-juri.

Sekitar jam 5.00 petang berakhir semua pertandingan, pastilah pengumuman senarai nama pemenang amat dinanti-nantikan. Seterusnya cabutan nombor bertuah bagi semua tetamu yang hadir pada hari tersebut. Tahniah kepada semua pemenang dan penerima hadiah! Kira-kira jam 5.30 petang, majlis pun tamat.

Di sini, Dewan Muslimat Kawasan PAS Parit Buntar sukacita ingin merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh hadirin yang sudi hadir bagi memeriahkan program. Tidak lupa juga kepada semua urusetia yang terlibat bagi menjayakannya. Semoga kita semua sentiasa dalam keredhaan Allah swt dan diberkati-Nya setiap langkah kita. Insyaallah semoga berjumpa lagi di tahun hadapan.

"Muslimat...Memacu Kebangkitan, Merintis Perubahan"
Ilalliqai wa ma'assalamah.

Warna-warni karnival PR :














































































































































































































































































































































































































































































































































































































































Untuk mengetahui pelbagai cerita lagi di sebalik
karnival ini, sila klik : paritbuntar.pas.org.my/