Friday, August 20, 2010

Jangan Lepaskan 11 Amalan Sunnat Bulan Ramadan Ini


Oleh: al-bahanj

"Adalah penting bagi kita untuk mengetahui kalam Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam dalam bab kaifiat dan fadhilat ibadah. Ini kerana ia merupakan janji benar yang menjadi jaminan yang kukuh untuk kita berpegang dengannya. Menjadi sumber motivasi buat orang-orang yang beriman.

Berikut adalah beberapa hadith Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan kepada kita bagaimana untuk mendapatkan impak maksima dari kebaikan Ramadhan. Saya telah memetiknya dari kitab Riyadhus-Solihin susunan Imam Nawawi dan kitab Feqhus-Sunnah susunan Sheikh Sayyid Sabiq. Semoga kita semua dapat mengamalkannya, insyaALLAH.

1. Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya Selama Tidak Khuatir Akan Terbitnya Fajar

Dari Anas radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Zaid bin Tsabit radhiAllahu ‘anhu berkata: “Kami sahur bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami melaksanakan solat.” Ada seseorang bertanya: “Berapa lama antara sahur dengan solat itu?” Ia menjawab: “Kira-kira 50 ayat.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari ‘Amr bin ‘Ash radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab adalah adanya makan sahur.” (HR Muslim)

2. Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka

Dari Sahl bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam sentiasa berbuka dengan beberapa biji ruthob (kurma yang baru masak) sebelum solat. Jika tidak ada ruthob (kurma yang baru masak), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan tamar (kurma yang sudah kering). Jika tidak tamar (kurma yang sudah kering), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam meneguk air beberapa teguk.” (HR Abu Daud dan At-Turmudzi)

3. Berdo’a sepanjang berpuasa dan ketika berbuka.

Diriwayatkan oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ada 3 golongan yang tidak ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”

4. Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam bersabda: “Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa””. (HR Bukhari & Muslim)

Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: ‘Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)

5. Bersiwak atau menggosok gigi.

Amir bin Rabi’ah berkata, “Saya melihat Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersiwak dan beliau pada saat itu sedang berpuasa. Kerana seringnya, maka saya tidak dapat membilang dan menghitungnya.” (HR Bukhari)

Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Andaikan tidak memberatkan umatku, niscaya mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap kali berwudhu.” (HR Bukhari)

6. Bermurah hati dan banyak menderma.

Dari Ibnu Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR Bukhari)

7. Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.

(Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.)

Membaca al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena bulan Ramadhan, hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya. Para ulama apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran. Membaca untuk memahami al-Quran yakni mentadabbur al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju untuk mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan Ramadhan.

8. Memberi makan untuk berbuka puasa.

Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.” (HR At Turmudzy)

9. Mendirikan malam dengan solat sunnat (solat Tarawih)

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Barangsiapa yang mengerjakan solat sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim)

10. Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan

Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan. diramaikannya waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.” (HR Bukhari & Muslim)

11. Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan.

Dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehingga Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam dipanggil ALLAH Ta’ala, kemudian setelah beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam wafat, isteri-isterinya meneruskan kebiasaan Beliau itu.” (HR Bukhari & Muslim)

Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran yang besar dari hadith-hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam di atas. Janganlah dilepaskan peluang untuk mendapatkan pahala yang besar hasil dari usaha kita untuk bersungguh-sungguh melaksanakan sunnah di atas.

Selain dari sunnah yang telah dinyatakan di atas, jangan lupa dan meremehkan lain-lain sunnah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam seperti senyum, beri salam, solat jamaah di masjid, berbuat baik kepada ahli keluarga dan jiran, beri tadzkirah, merendah diri dan lain-lain.

Mudah-mudahan hidayah dan taufiq menyinari hati dan jiwa kita semua dan mudah-mudahn melekat ke dada kita semua akan nilai besar Taqwa, amin.

Monday, July 26, 2010

Keutamaan Nisfu Sya'ban



Dikutip dari buku al-Fawaaidul Mukhtaaroh Diceritakan bahwa Ibnu Abiy as-Shoif al-Yamaniy berkata, “Sesungguhnya bulan Sya’ban adalah bulan sholawat kepada Nabi saw, karena ayat Innallooha wa malaaikatahuu yusholluuna ‘alan Nabiy … diturunkan pada bulan itu. (Ma Dza Fiy Sya’ban?)

Syaikh‘Abdul Qadir al-Jailaniy berkata, “Malam Nishfu Sya’ban adalah malam yang paling mulia setelah Lailatul Qodr.” (Kalaam Habiib ‘Alwiy bin Syahaab)

Sayidina Ali bin Abi Tholib Karromalloohu Wajhah meluangkan waktunya untuk ibadah pada 4 malam dalam setahun, yakni: malam pertama bulan Rojab, malam 2 hari raya, dan malam Nishfu Sya’ban. (Manhajus Sawiy dan Tadzkiirun Nas)

Al-Imam As-Subkiy.rhm berkata, bahwa malam Nishfu Sya’ban menghapus dosa setahun, malam Jum’at menghapus dosa seminggu, dan Lailatul Qodr menghapus dosa seumur hidup.

Diriwayatkan kapadaku bahwa Sahabat Nabi Usamah bin Zaid.ra berkata kepada Nabi SAW, “Ya Rasulullah, aku belum pernah melihat engkau berpuasa di bulan lain lebih banyak dari puasamu di bulan Sya’ban.”

Kata Nabi, “Bulan itu sering dilupakan orang, karena diapit oleh bulan Rajab dan Ramadhan, padahal pada bulan itu, diangkat amalan-amalan (dan dilaporkan) kepada Tuhan Rabbil Alamin. Karenanya, aku ingin agar sewaktu amalanku dibawa naik, aku sedang berpuasa.” (HR Ahmad dan Nasai - Sunah Abu Dawud).

Adapun keutamaan bulan Sya’ban lainnya akan lebih jelas lagi dalam hadis-hadis berikut:

Hadis Pertama :

Aisyah RA bercerita bahwa pada suatu malam dia kehilangan Rasulullah SAW, ia keluar mencari dan akhirnya menemukan beliau di pekuburan Baqi’, sedang menengadahkan wajahnya ke langit. Beliau berkata, “Sesungguhnya Allah Azza Wajalla turun ke langit dunia pada malam Nishfu Sya’ban dan mengampuni (dosa) yang banyaknya melebihi jumlah bulu domba Bani Kalb.” (HR Turmudzi, Ahmad dan Ibnu Majah)

Hadis Kedua :

Diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Asy’ari RA bahwa Rasulullah SAW bersabda, “ “Sesungguhnya Allah pada malam Nishfu Sya’ban mengawasi seluruh mahluk-Nya dan mengampuni semuanya kecuali orang musyrik atau orang yang bermusuhan.” (HR Ibnu Majah)

Hadis Ketiga :

Diriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib KW bahwa Rasulullah SAW bersabda, “Jika malam Nishfu Sya’ban tiba, maka salatlah di malam hari, dan berpuasalah di siang harinya, karena sesungguhnya pada malam itu, setelah matahari terbenam, Allah turun ke langit dunia dan berkata, ‘Adakah yang beristighfar kepada Ku, lalu Aku mengampuninya, Adakah yang memohon rezeki, lalu Aku memberinya rezeki , adakah yang tertimpa bala’, lalu Aku menyelamatkannya, adakah yang begini (2x), demikian seterusnya hingga terbitnya fajar.” (HR Ibnu Majah).

Demikianlah keutamaan dan kelebihan malam Nishfu Sya’ban, marilah kita manfaatkan malam yang mulia ini untuk mendekatkan diri dan memohon sebanyak-banyaknya kepada Allah

Wednesday, July 14, 2010

SERUAN PESURUHJAYA PAS PERAK



PUASA SUNAT HARI KHAMIS, AMALAN AHLI PAS PERAK

25 10 2009

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyeru agar semua ‘amilin gerakan Islam agar memperbanyakkan puasa sunat, terutamanya pada hari khamis. Beliau mengulas beberapa hadith Nabi Muhammad SAW antaranya:

1. Diriwayatkan dari ‘Aisyah r.a. menceritakan bahawa; “Adalah Rasulullah s.a.w. amat menjaga puasa pada hari Isnin dan Khamis”- (Riwayat Imam Tirmizi. Menurut beliau, hadis ini hasan soheh).

2. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda; “Dibentangkan amalan-amalan di hadapan Allah pada hari Isnin dan Khamis. Maka aku menyukai dibentang amalanku (di hadapan Allah) pada ketika aku berpuasa” – (Riwayat Imam Tirmizi).

Menurut beliau, hadith-hadith tersebut menceritakan kepentingan para pejuang gerakan Islam memperbanyakkan puasa sunat Isnin dan Khamis. Menurutnya lagi, sebagai petugas gerakan Islam, kita bukan sahaja menjadi ahli politik, bahkan kita juga adalah ‘abid dan juga ahli sufi seperti yang telah dikemukakan dalam usul pertama di dalam usul ‘isyrin oleh asy-Syahid Imam Hassan al-Banna. “Ibadah puasa bukan sahaja melatih diri menahan lapar dan dahaga, malah lebih daripada itu,” ujar beliau menerangkan kelebihan berpuasa. Menurutnya, kelebihan Allah SWT memfadhilatkan ibadah puasa kepada orang Islam adalah untuk mentarbiyah diri. Ibadah puasa sunat membentuk keikhlasan dalam diri kita melakukan amal ibadah kepada Allah SWT kerana ketika kita berpuasa, tiada siapa yang tahu samada kita berpuasa ataupun tidak, hanya diri sendiri dan Allah SWT yang mengetahui hakikat kita berpuasa.

Selain itu, beliau juga menegaskan agar puasa bagi petugas gerakan Islam, PAS khususnya, sampai kepada matlamatnya iaitu mentarbiyah ruhiyyah dengan menjaga mata, telinga, mulut dan hati daripada perkara-perkara lagho (sia-sia) dan jauh sekali maksiat. “Dengan berpuasa secara fizikal sahaja tidak akan menjadikan hati kita tunduk kepada Allah SWT dan merendahkan hawa nafsu, tetapi iltizam dalam diri untuk mentarbiyah hawa nafsu akan menundukkan hati untuk mencapai natijah puasa tersebut,” katanya lagi menceritakan pentingnya untuk petugas PAS berpuasa sunat Isnin dan Khamis.

Beliau juga menyeru agar para seluruh ahli PAS di Perak khususnya sebolehnya berpuasa setiap hari khamis, menurut beliau puasa hari khamis bagi PAS Perak merupakan satu perkara yang sangat sinonim yang mana ibadah sunat ini adalah antara ibadah yang disarankan oleh kepimpinan PAS Perak sebelum ini lagi.

“InsyaALLAH jika seluruh ahli PAS Perak istiqamah berpuasa setiap hari khamis, jemaah kita akan sentiasa mendapat kerahmatan dari Allah SWT.”, jelas beliau.

Sunday, July 11, 2010

CAKNA RAKYAT 2010 MERIAH!!!

11 JULAI 2010(Ahad)- Alhamdulillah jam 1 petang tadi berakhir satu lagi program kemasyarakatan anjuran Pas Kawasan Parit Buntar bertujuan mendekati masyarakat dan penduduk setempat iaitu Cakna Rakyat 2010. Program yang berlangsung di Dewan Serbaguna & Padang Kuala Bagan Tiang ini dikatakan sangat meriah dengan kehadiran hampir seluruh penduduk tempatan Kuala Bagan Tiang serta Perkampungan Nelayan.

Pelbagai aktiviti menarik dan pertandingan dilaksanakan bermula jam 9pagi lagi. Antaranya sukaneka rakyat, pertandingan bola sepak 7 sebelah, cabutan bertuah dan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma.

Bagi slot muslimat ataupun wanita semestinya,acara masakan dan gubahan tuala menjadi tarikan. Kedua-dua acara ini mendapat penyertaan yang sangat ramai dan menggalakkan di kalangan mereka. Acara gubahan dan lipatan tuala mempertaruhkan persaingan yang amat sengit dan tidak kurang hebat juga pertandingan masakan berasaskan udang yang secara tidak langsung mempamerkan sosiobudaya-ekonomi dan penduduk yang tinggal berhampiran laut di sini.

Selain itu, turut diadakan pertandingan mewarna, kapal terbang, tiup belon dan baling straw untuk kanak-kanak. Golongan dewasa pula disajikan sukaneka berbentuk santai seperti boling kelapa, terompah besar, isi air dalam botol berkumpulan dan kupas kulit epal terpanjang. Untuk para pengundi baru dan lama, kaunter daftar dan semakan SPR turut dibuka bagi memastikan maklumat dan status mengundi pada pilihanraya akan datang. Jualan makanan dan gerai produk organik juga turut memeriahkan suasana pada hari ini.

Kira-kira jam 12 tengah hari selesai semua acara, para pemenang diumumkan. Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Hj Harun Hashim selaku YDP Pas Parit Buntar dan ahli Parlimen Parit Buntar, YB Dr Mujadhid Yusuf Rawa serta isteri. Jam 1 petang majlis pun bersurai dengan riak-riak kegembiraan di wajah masing-masing. Terima kasih warga penduduk Bagan Tiang atas sambutan anda. Jumpa lagi tahun hadapan, Insya-Allah.

sekitar pendaftaran untuk acara-acara yg bakal dpertandingkan

hasil gubahan-gubahan para peserta kipatan tuala

pertandingan mewarna tahap II

mewarna tahap I

pertandingan masakan berasaskan udang

YB Dr Mujahid sedang memberi ucapan ringkas sempena CAKNA 2010,
walaupun letih baru pulang dari program wacana di Kota Bharu,Kelantan semalam, beliau tetap ceria dan bersemangat meraikan penduduk tempatan yang hadir

YB Mujahid bersama isteri menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang

Mesra.....Hj Harun Hashim, YDP Pas Parit Buntar memberi hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna kategori pra-sekolah..

Yeah...nombor 1!!

Hj Harun sempat juga membuat pemeriksaan tekanan darah

Saturday, July 3, 2010

Adik Nurul Nadiah...


Pada 21 jun 2010 , Dmpk dan lajnah kebajikan pergi menziarahi adik Nurul Nadiah bt. Abdul Wahab di Pt. Haji Awi, Bagan Tiang, Tg. Piandang. Adik Nurul Nadiah (10 tahun), telah 2 tahun mengalami penyakit hati kronik. Adik Nurul perlukan pemindahan hati, tetapi tidak bersetuju kerana risiko yang tinggi. Beliau hanya bergantung pada ubat-ubatan untuk menyambung kehidupan dan alat bantuan pernafasan sahaja untuk meneruskan kehidupan dan kosnya menelan RM300 sebulan.

Ibunya pula seorang ibu tunggal (suri rumah) yang telah kematian suami pada 1 jun 2008 yang lalu dan mempunyai 11 org anak, dimana 7 orang daripadanya masih kecil dan 4 orang lagi masih belajar.Ustazah Zabariah mendoakan agar Adik Nurul Nadiah cepat pulih..



Gambar, Ustazah Zabariah ketua DMPK memberi sumbangan sebanyak Rm300 kepada Adik Nurul Nadiah untuk mengurangkan beban yang sedia ada.




Friday, June 18, 2010

Ya Rajab...Ahlan Wa Sahlan...


Bulan yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang mencari kebajikan yang banyak. Sesungguhnya Allah menganugerahkan rahmat kepada hamba-hambaNya dalam bulan ini. Barangsiapa memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah memuliakan mereka dengan seribu kemuliaan. Gandingan 3 bulan (Rejab, Sya'aban dan Ramadhan) merupakan satu tempoh yang amat berkat. Setiap satu mempunyai keistimewaan tersendiri.

Kemuliaan Rejab kerana Israk Mikrajnya, Sya'aban dengan malam Nisfu Sya'aban dan Ramadhan dimuliakan dengan Lalilatul Qadr. Di antara rahmat Allah yang terbesar dikurniakan kepada hambaNya ialah dengan melipatgandakan pahala setiap amalan yang dilakukan dalam bulan ini. Di antara amalan pada waktu siang ialah puasa, solat sunat, tasbih, selawat, membaca al-Quran, istighfar, sedekah dan seumpamanya. Manakala waktu malam diisi dengan solat tahajud, solat sunat tasbih, zikir, tasbih, selawat, baca al-Quran dan istighfar. Sepanjang Rejab, Allah melipatgandakan pahala dan keampunan serta mengangkat darjat di dalam syurga.

Selain berpuasa, umat Islam digalakkan beristighfar. Bacalah doa istighfar Rejab yang banyak dinukilkan di dalam kitab-kitab. Allah melimpahkan keampunan dan rahmat yang tidak diberi pada bulan-bulan lain. Amalan sedekah juga dibalas dengan ganjaran yang banyak. Dinukilkan bahawa barangsiapa bersedekah dalam bulan Rejab diberi ganjaran setiap sehelai bulu roma di tubuhnya dengan 1000 kebajikan, diangkat 1000 darjat dan dihapus 1000 kejahatan.

Sungguh banyak sekali keterangan ulama' mengenai ganjaran dan kebesaran Rejab. Yang lebih penting bukan setakat menghuraikan kelebihan, tetapi sejauh mana kita mengamalkan atau mengambil peluang dari tawaran Allah ini. Kalau Kompleks Membeli-belah mengadakan tawaran istimewa atau jualan murah, kita akan keluar berduyun-duyun seolah-olah berpesta untuk mendapatkan barangan yang ditawarkan. Tetapi adakah begitu respon kita apabila Allah membuka tawaran yang Maha Hebat ini. Satu tawaran yang tiada tolok bandingannya. Satu tawaran yang kekal abadi. Satu tawaran yang menjamin kebahagiaan di dua alam - dunia dan akhirat.

Realiti yang kita dapat lihat ialah tawaran Allah kurang mendapat tempat di hati kita. Hanya hati yang disinari dengan iman dapat menghargai tawaran Allah yang abadi ini. Manakala hati yang sudah terpaut dengan kebesaran dunia lebih terpikat dengan tawaran murahan yang bersifat sementara dan tidak kekal.

Di sinilah ujian untuk menilai keimanan kita terhadap perkara ghaib. Ganjaran syurga yang ditawarkan adalah perkara ghaib yang kita tidak nampak. Tetapi penuruan harga baju dari RM 90.00 ke RM 50.00 jelas dilihat. Oleh kerana kita lebih mengutamakan perkara yang nampak daripada yang ghaib, maka kita berusaha untuk memilih tawaran dunia. Tawaran Allah menjadi amat kecil sehingga tidak berdaya untuk kita laksanakan.

Jadilah fadhilat atau kelebihan Rejab yang kita baca atau dengar seolah-olah satu dongengan yang tidak bermakna dan tidak sikit pun memberi kesan di hati. Apabila sikap begini terserap di dalam hati, tidaklah mampu untuk merealisasikan sesuatu tindakan. Bahkan di dalam al-Quran, Allah menempelak golongan ini seolah-olah ada mata tetapi tidak dapat melihat, ada telinga tidak dapat mendengar dan ada otak tetapi tidak dapat memikirkan.

Allah Maha Melihat atas apa yang kita lakukan. Allah Maha Mendengar atas apa yang kita ucapkan. Allah Maha Tahu atas apa yang kita lintaskan di hati. Allah memberi ganjaran atau balasan berdasarkan sejauh mana kita berusaha menghampirkan diri kepada Allah. Jika kita bersungguh-sungguh beramal mencari keredhaan Allah, Allah akan memberi balasan setimpal dengan usaha yang disumbangkan. Sebaliknya jika di dunia kita tidak begitu ambil pusing akan urusan ibadat, maka sudah tentu Allah tidak akan mempedulikan perihal hidup kita di dunia dan akhirat.
Sebagai tanda Allah mengasihi seseorang, diberikan kesusahan atau bala. Bala adalah ujian untuk melihat sejauh mana kesabaran kita. Sekiranya kita bersabar atas segala kesusahan yang ditimpakan ke atas kita, Allah akan meningkatkan darjat kita. Manusia yang lemah imannya terhadap ujian Allah akan mudah menggelabah dan putus asa. Orang beriman sebenar sama sahaja sama ada diberi nikmat atau tidak. Diberi senang dia bersyukur, ditimpakan susah dia bersabar. Ada wang atau tak ada wang sama saja - kerana kesemuanya berpunca dari Allah.

Dalam konteks kelebihan Rejab ini, puasa adalah satu amalan yang benar-benar menguji kesabaran. Orang berpuasa diuji dengan susah, lapar, dahaga dan letih. Ini merupakan satu bala. Kejayaan mengatasi kesusahan ini demi menyahut seruan Allah merupakan satu peluang yang melayakkan kita menerima ganjaran yang disediakan; bak kata orang tua-tua 'bersusah-susah dulu - bersenang-senang kemudian'. Ini bermakna syarat untuk bersenang-senang di akhirat ialah dengan cara kita menempuh pelbagai kesukaran terlebih dahulu. Syurga adalah satu tempat yang amat istimewa di akhirat yang tidak akan dapat dicapai oleh mereka yang lebih mementingkan kesenangan dan hiburan di dunia ini.
Sebagai penutupnya, kita seharusnya memeriksa diri kita terlebih dahulu, sejauh mana kita memberi respons terhadap tawaran ukhrawiah? dan sejauh mana pula kita memberi respons terhadap tawaran keduniaan? Bandingkan kecenderungan atau kemahuan diri kita apabila berhadapan dengan kedua-dua tawaran ini. Yang mana lebih menggiur atau menyelerakan? Dari sini barulah kita tahu pendirian dan sikap kita. Tepuklah dada dan tanyalah iman. Hanya diri sendiri yang mengetahui rahsia peribadi. Bertolak dari sini, barulah kita dapat memperbetulkan halatuju yang perlu diambil untuk keselamatan diri kita di dunia dan akhirat.

Harapan kita biarlah kita untung dan bahagia di dunia dan akhirat. Sama-samalah kita berusaha ke arah memperbaiki hidup sepanjang Rejab ini supaya Allah menambahkan ketakwaan dan kekuatan kita untuk melakukan amal iibadat dalam bulan Sya'aban dan Ramadhan yang bakal menjelang. Semoga kita berpeluang berada dalam bulan yang paling mulia - Ramadhan dan akhirnya semoga kita sentiasa mendapat keredhaan Allah. AMIN!

Saturday, May 22, 2010

PROGRAM MUSLIMAT CAWANGAN BATU LIMA


22 MEI 2010 - Satu program telah diadakan di Pt. Hj Abdul Rahman dengan kerjasama UPU Batu Lima bermula pada jam 8.30pagi hingga 5.00petang. Pada sebelah paginya, muslimat cawangan Batu Lima menyediakan sejenis kuih banjar dikenali sebagai wadai kiping.

Sebelah petang pula diadakan ceramah kelompok yang disampaikan oleh Setiausaha PAS Kawasan.Beliau telah menegasakan kewajipan umat Islam melaksanakan kerja amar maaruf dan nahi mungkar seperti yang dituntut dalam al-Quran surah Ali-Imran ayat 104. Beliau juga menyarankan agar muslimat peka dalam situasi kini tentang peranan zionis yahudi yang menindas dan menzalimi umat Islam.Oleh itu diharapkan muslimat bersama-sama memainkan peranan dalam memboikot barang keluaran Amerika dan sekutunya Israel-Yahudi seperti barangan keluaran Nestle, KFC, Coca-Cola, McDonald, Starbuck dan sebagainya. Akhirnya beliau memberi peringatan keadaan manusia di Padang Mashyar atas perbuatan yang mereka lakukan di atas dunia ini.

Program ini diakhiri dengan bacaan doa selamat dan jamuan wadai kiping.